Saturday, 7 September 2013



Singapura tewas sebab permukaan padang dipenuhi air

PENGENDALI Singapura, V. Sundramoorthy mendakwa keadaan padang yang dipenuhi air sebagai punca kekalahan 0-1 kepada Harimau Muda pada Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.
Sebelum perlawanan bermula, hujan lebat turun di Kuantan dan menyebabkan padang itu ditakungi air.
Sundramoorthy berkata, keadaan padang yang dipenuhi air itu telah 'merosakkan' tempo permainan pasukan kendaliannya sehingga mereka tidak mampu bergerak serta menyepak bola dengan sempurna.
"Saya berharap pada aksi kedua nanti keadaan cuaca dan padang memihak kepada kami. Saya percaya para pemain saya akan bangkit selepas ini.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain dalam perlawanan sebentar tadi (semalam) walaupun kami datang ke Kuantan tanpa enam atau tujuh pemain utama," kata Sundramoorthy.
Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, walaupun kebanyakan pemain yang dibawa ke sini adalah pemain-pemain kurang berpengalaman, beliau memuji keserasian dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam aksi bertemu Harimau Muda itu.
Beliau turut mengakui sangat terasa ketiadaan penyerang utama, Hariss Harun dan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tidak disenaraikan pada kejohanan kali ini kerana komitmen bersama skuad senior.
"Saya akui Hariss dan Izwan mempunyai pengaruh besar dalam skuad ini. Kehadiran mereka dalam pasukan bakal menambah keyakinan seluruh pemain namun saya tidak kecewa kerana saya percaya dengan barisan yang saya miliki ketika ini.
"Saya juga mahu mereka (pemain) melupakan kekalahan ini seterusnya memberi tumpuan kepada dua aksi berikutnya dan tidak mustahil kita (Singapura-Malaysia) akan bertemu di final," katanya.



Jalan 150 meter untuk buang tatu
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

BUKIT KAYU HITAM - Taktik sembilan lelaki disyaki ahli kumpulan kongsi gelap 04 dan 08 berjalan kaki sejauh 150 meter dengan cuba menyelinap masuk ke negara jiran untuk membuang tatu kumpulan masing-masing gagal apabila mereka diberkas petang kelmarin.
Suspek yang berusia 24 hingga 47 tahun itu diberkas secara berasingan sejak pukul 7.30 petang di Kompleks Imigresen Kuarantin dan Kastam (CIQ) dekat sini.
Ketika diperiksa, kesemua mereka memiliki tatu termasuk corak harimau dan helang pada tubuh masing-masing mewakili kumpulan samseng yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya percaya sembilan lelaki tersebut mahu melarikan diri daripada pihak berkuasa yang sedang menggempur penjenayah menerusi Ops Cantas Khas sejak 17 Ogos lalu.
"Kita tidak menolak kemugkinan kumpulan suspek ini pergi ke Thailand untuk membuang tatu pada badan mereka selepas diharamkan KDN," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang masuk dari Thailand di CIQ kelmarin.


Portal jual bawang 45 sen sekilogram


NEW DELHI - Sebuah portal beli-belah utama mendapat sambutan hangat di India kerana menawarkan bawang pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Portal berkenaan, Groupon menawarkan barangan itu pada harga runtuh iaitu hanya 14 sen (45 sen) sekilogram (kg), Khamis lalu.
Tawaran tersebut dibuat ketika harga sayuran dan bawang meningkat dengan mendadak di India.
Setakat kelmarin, seramai 8,057 pelanggan telah membeli bawang tersebut secara dalam talian. Bawang merupakan antara ramuan paling penting dalam masakan di India.
Pihak Groupon juga telah menjual sebanyak 5,000 kg bawang di laman webnya sejak tawaran tersebut disiarkan.
"Pada hari pertama ia ditawarkan, sebanyak 5,000 kg telah dijual. Hari ini (kelmarin) laman web kami tergendala selama 10 minit kerana terlalu banyak permintaan yang diterima," kata Ketua Eksekutif Groupon India, Ankur Warikoo.

"Sambutan yang kami terima benar-benar hebat," tambahnya.
Menurut Ankur, ini kali pertama portal beli-belah berkenaan menjual bawang di internet pada harga runtuh.
Firma internet antarabangsa tersebut beribu pejabat di Amerika Syarikat. - AFP



BAM laksana sistem baharu
Oleh MOHD. IKHSAN
FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


“Untuk tempoh beberapa tahun lagi, BAM akan diuruskan oleh dua kumpulan (TMG dan SSG) dan kami tidak akan mempunyai barisan exco lagi.
“TMG akan menjaga elemen kemanusiaan pembangunan badminton atau dalam kata lain mengadakan kejohanan di peringkat negeri dan kelab.
“Jadi, pasukan ini perlu merancang pelan untuk skuad negara, pelapis, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk sekarang, dua setengah tahun (pemain senior), empat tahun (pelapis) dan enam hingga tujuh tahun (remaja).
“SSG pula yang akan menyediakan fasiliti, isu disiplin dan sebagainya akan diketuai oleh Pengurus Besar BAM (Kenny) serta persiapan akhir akademi BAM pula ditugaskan kepada (Timbalan Presiden), Datuk Mohamad Norza Zakaria,” kata Tengku Mahaleel ketika menjelaskan mengenai pelan itu selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Hotel Grand Dorsett Subang, Kuala Lumpur semalam.
Mesyuarat itu turut memutuskan bahawa sistem ranking kebangsaan akan diperkenalkan dan setiap pemain negara sama ada di BAM atau di kelab akan dinilai menerusi kejohanan untuk mengisi slot lima pemain terbaik.
“Sebelum ini, kedudukan ranking hanya berdasarkan dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu penilaian daripada kejohanan peringkat antarabangsa.
“Jadi, pemain bukan daripada BAM bebas untuk bersaing dengan pemain kebangsaan. Sekiranya berjaya berada dalam kelompok lima pemain terbaik, mereka berpeluang untuk mewakili negara,” kata Tengku Mahaleel.
Penubuhan pasukan TMG yang didedahkan oleh Tengku Mahaleel semalam sekali gus menamatkan desas-desus mengenai pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) yang sebelum ini dikatakan milik legenda badminton negara, Aik Mong.
Ternyata penglibatan Aik Mong dalam Program Road To Be A Champion bersama Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK) pada awal tahun ini memikat Tengku Mahaleel untuk membantunya merealisasikan program hala tuju BAM.
Dalam pasukan TMG, Aik Mong akan dibantu oleh beberapa bekas pemain kebangsaan serta pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
“Dia (Aik Mong) telah membuktikannya (kebolehan) kepada saya di Kelantan dan menemui dua pemain berpotensi berusia tujuh tahun dan dia juga merupakan bekas ketua jurulatih Malaysia dan pemain No. 3 dunia pada tahun 1960 dan 1970.
“Dia dilantik sebagai pengarah dalam TMG dan akan dibantu oleh bekas pemain-pemain yang pakar dalam cara permainan dahulu seperti Razif Sidek dan mungkin Cheah Soon Kit serta Datuk Lee Chong Wei.
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) melaksanakan sistem baharu apabila menubuhkan Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) dan Kumpulan Perkhidmatan Sokongan (SSG) sebagai pelan strategik lima tahun dalam misi untuk membentuk pasukan impian negara.
Dua kumpulan itu diketuai bekas pemain perseorangan era 60-an, Tan Aik Mong sebagai Pengarah TMG dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh dilantik mengetuai SSG.
Pelantikan Aik Mong dan Kenny dalam dua kumpulan itu mengubah landskap yang sebelum ini diputuskan oleh exco BAM sebelum dibawa dalam mesyuarat Ahli Majlis BAM.
Presidennya, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata, kedua-dua pasukan itu mempunyai tugas-tugas berbeza yang lebih terperinci.